GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memudahkan perkongsian sumber dari segi sumber manusia dan infrastruktur bergerak seperti peralatan atau kelengkapan perubatan jika diperlukan bagi rawatan Covid-19 dan meningkatkan kadar vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) mega dalam beberapa minggu akan datang.

Presiden APHM Datuk Dr Kuljit Singh berkata, semua ketua pegawai operasi di hospital swasta di Lembah Klang akan berbincang secara langsung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) agar sokongan maksimum diberikan kepada kepada pesakit di negara ini.

"Sehingga hari ini, hampir 100 peratus katil untuk unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital swasta digunakan untuk merawat pesakit kategori 5.

"Kami sedang dalam perbincangan lanjut dengan KKM untuk memindahkan kes kecemasan dan pesakit dalam wad di hospital kerajaan ke pusat swasta supaya lebih banyak hospital awam boleh ditukar kepada hospital Covid-19 bagi menampung ribuan lagi pesakit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kuljit berkata, pemberian suntikan vaksin kepada petugas kesihatan swasta terbukti dapat melindungi barisan hadapan daripada Covid-19, yang mana hasil diperoleh konsisten dengan data diberikan kerajaan mengenai petugas kesihatan dan ia sama seperti data antarabangsa.

Beliau berkata, menurut 152 ahli APHM, dilaporkan bahawa kebanyakan petugas kesihatan yang diberikan suntikan vaksin tidak dijangkiti Covid-19, manakala bilangan kecil yang dijangkiti mempunyai gejala sangat ringan dan pulih dengan baik.

"Ini adalah testimoni menunjukkan vaksinasi akan menjadi alat pencegahan utama untuk mengawal pandemik kerana kita mendapati peningkatan semasa penggunaan katil di ICU dan jumlah kematian tinggi adalah disebabkan vaksin yang tidak mencukupi pada enam bulan pertama tahun ini.

"Kita mempunyai masalah ini kerana kekurangan vaksin dunia dan penghantaran vaksin yang agak perlahan di beberapa bahagian termasuk ke Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:38 PM