Dr Chee Woh meninggal dunia hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Dr Chee Woh meninggal dunia hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Pahlawan negara yang juga bekas ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas (Pasukan E3F) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab membanteras pemberontakan pengganas komunis di negara ini, Datuk Dr Leong Chee Woh meninggal dunia, hari ini.

Mendiang yang berusia 92 tahun meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor, petang tadi.

Berita kematian mendiang disahkan melalui satu hantaran di Facebook rasmi PDRM, hari ini.

Chee Woh dilahirkan pada 11 November 1929 di Taiping, Perak dan mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Disember 1950.

Selepas berkhidmat selama 34 tahun dalam PDRM, beliau bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Cawangan Khas Bukit Aman dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC 1).

Ketokohan Chee Woh sebagai seorang pegawai polis yang cekap dan berani terserlah apabila dilantik mengetuai Pasukan E3F atau lebih dikenali sebagai Pasukan F yang ditubuhkan pada 1971.

Misi utama penubuhan Pasukan F adalah membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia serta Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Hasil kebijaksanaan beliau mengemudi Pasukan F, seramai 48 orang pengganas PKM berjaya dibunuh, 171 lagi berjaya ditahan bersama 1,432 orang tali barut.

Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakan pengganas PKM di negara ini turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.

Selain itu, beliaujuga individu yang bertanggungjawab memberkas Ketua Malayan People Liberation League Mobile Unit (MPLL) atau dahulunya dikenali sebagai Malayan People's Liberation Union yang membunuh Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dan 16 anggota polis dalam insiden pengeboman di Kem Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Pekeliling di sini.

Atas jasa bakti dan sifat keberaniannya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada 9 September 2017.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga PDRM, hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

"Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 11:56 PM