Zaid Salim


Kuala Terengganu: Polis negeri ini mengadakan kawalan ketat di pintu masuk utama ke negeri ini iaitu sempadan Terengganu/Kelantan dan Terengganu/Pahang serta laluan tikus.

Kawalan ketat termasuk penambahan anggota di empat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan berkenaan dilakukan bagi memastikan tiada cubaan rentas negeri secara tidak sah menjelang Aidiladha, Selasa ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kawalan ketat turut dilakukan di beberapa laluan tikus yang menjadi laluan alternatif mereka tidak bertanggungjawab untuk masuk secara senyap.

"Sehingga kini kita tidak nampak ada perubahan aliran trafik sama ada di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau dalam kawasan bandar.

"Keadaan masih seperti biasa dan tidak berlaku pertambahan ketara kenderaan di atas jalan raya berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi memastikan kawalan berjalan lancar, pihaknya menambah kekuatan anggota di setiap SJR iaitu daripada empat kepada enam anggota bermula 8 pagi hari ini.

Menurutnya, SJR di kawasan sempadan membabitkan pintu masuk di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Perasing dan Paya Berenjut di Kemaman dan SJR sempadan di Kampung Tok Saboh dan Pacakan di Besut.

Keadaan di pintu masuk Plaza Tol Gemuroh, Kuala Terengganu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) lengang. FOTO ZAID SALIM
Keadaan di pintu masuk Plaza Tol Gemuroh, Kuala Terengganu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) lengang. FOTO ZAID SALIM

Katanya, pemantauan dan rondaan secara berkala dilakukan di 32 laluan tikus di Besut dan tujuh di Kemaman.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Gemuroh, Kuala Terengganu selama tiga jam bermula 12 tengah hari mendapati keadaan aliran trafik di LPT2 sama ada laluan masuk dan keluar lengang.

Hanya sesekali terdapat kenderaan awam yang masuk di plaza tol berkenaan selain daripada kenderaan perdagangan.

Manakala tinjauan di kawasan bandar pula mendapati keadaan tidak banyak berubah dan tidak berlaku kesesakan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 4:21 PM