Gambar tular pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. FOTO Tular media sosial
Gambar tular pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. FOTO Tular media sosial
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan tidak panik dan gusar mengenai video yang tular mendakwa kononnya mayat pesakit Covid-19 terpaksa disimpan beberapa hari di hospital awam di Lembah Klang .

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, semakan pihaknya mendapati, jenazah pesakit Covid-19 di rumah mayat hospital diuruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengambil masa sehingga tiga atau empat hari.

Katanya, penularan video mereka yang tidak bertanggungjawab hanya menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk terutama keluarga yang mahukan penjelasan pihak berwajib.

"Saya sudah menghubungi beberapa hospital di Lembah Klang dan dimaklumkan mengenai situasi terkini.

"Apa yang ditularkan itu tidak benar. Pengurusan jenazah mengambil masa kurang daripada 24 jam, namun urusan pengebumian bergantung kepada persetujuan keluarga dan penyelia tanah perkuburan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai video keadaan mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) yang tular baru-baru ini sehingga mengundang sensitiviti orang ramai.

Che Hassan berkata, orang ramai juga perlu faham pengurusan jenazah ketika penularan wabak sama sekali berbeza berbanding sebelum ini.

Ini kerana, katanya, terdapat SOP ketat perlu dipatuhi petugas bagi memastikan wabak berkenaan dapat dikawal dan tidak menjangkiti yang lain.

"Kita juga berterima kasih dengan rakan-rakan badan bukan kerajaan yang membantu di dalam pengurusan jenazah.

"Ia menjadikan urusan lebih lancar dan cepat kerana banyak jenazah perlu diuruskan dan dikebumikan pada satu-satu masa.

"Sama-samalah kita berdoa agar wabak ini segera berlalu dan kita semua boleh menjalani kehidupan seperti biasa semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:39 PM