Muhammad Sanusi bergambar bersama plakad 'Saya Telah Divaksin' ketika melakukan Lawatan Kerja ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Muhammad Sanusi bergambar bersama plakad 'Saya Telah Divaksin' ketika melakukan Lawatan Kerja ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Kerajaan negeri mengambil langkah berhati-hati untuk membenarkan sektor pelancongan di Langkawi dibuka semula dalam tempoh terdekat bagi mengelak pemain industri rugi berganda.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penelitian segala aspek penting bagi memastikan tiada penularan kes baharu Covid-19 disebabkan aktiviti pelancongan.

"Kita tidak mahu Langkawi jadi seperti destinasi pelancongan popular negara jiran. Buka kepada pelancong enam hari, kemudian ditutup.

"Perkara seperti itu berlaku disebabkan persiapan yang tidak begitu kemas," katanya katanya ketika sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri meninjau Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Integrasi di LICC yang pertama di Kedah mula dibuka hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kira-kira 92 peratus ekonomi membabitkan 110,000 penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan.

"Tindakan buka pintu kepada pelancong kemudian terpaksa ditutup tidak praktikal kerana kos membuka sesuatu perniagaan perlukan modal yang tinggi.

"Prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong kanak-kanak juga perlu difikirkan kerana kebiasaannya orang Malaysia melancong bersama keluarga," katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan hanya individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan dibenar bercuti di Langkawi selepas pulau peranginan itu dijangka dibuka kepada pengunjung pada September ini.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah bersetuju membekalkan vaksin mencukupi bagi memastikan 80 peratus penduduk pulau itu menerima suntikan vaksin sebelum kehadiran pelancong.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 3:04 PM