ANTARA penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Sungai Bertek, Klang, semalam dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO Faiz Anuar
ANTARA penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Sungai Bertek, Klang, semalam dalam usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor menyambut baik Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) yang diumumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, semalam dalam usaha mempercepatkan imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan hasil perbincangan mesyuarat Pelan Vaksinasi Greater Klang Valley yang dihadirinya, kerajaan Persekutuan juga bersetuju supaya usaha kerajaan Selangor bagi meningkatkan kadar vaksinasi melalui Program Vaksin Selangor (Selvax) turut dirangkumkan dalam kerangka PICK.

"Mesyuarat itu mensasarkan supaya seluruh populasi di Selangor dan Kuala Lumpur yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

"Seramai 1.3 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang belum menerima janji temu vaksin juga dijangka mula mendapat tarikh janji temu bermula pada 26 Julai," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, Program Vaksin Selangor (SelVAX) Komuniti dan Industri akan dioptimumkan bersama bekalan vaksin yang mencukupi supaya dapat beroperasi dengan kapasiti penuh dan mencapai kadar anggaran 40,000 dos sehari bagi dos pertama dan kedua serentak.

Katanya, usaha peningkatan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui lima PPV Mega dan klinik panel Selcare di seluruh negeri akan melonjakkan jumlah pemberian dos kepada 272,000 dos setiap hari.

"Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, akan menyelaraskan program SelVAX Industri bagi pekerja.

"Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming pula akan membantu usaha penyeragaman antara SelVAX dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi pihak kerajaan Selangor supaya tidak berlaku sebarang percanggahan data serta maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 12:18 PM