FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Kadar pemberian vaksin menerusi 'operasi lonjakan kapasiti' akan dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor bagi membendung penularan pandemik di Lembah Klang.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur ialah 6.1 juta.

Susulan pelaksanaan PICK, kata beliau, 3.5 juta individu dewasa di Lembah Klang sudah menerima dos pertama vaksin mereka, manakala selebihnya iaitu 2.6 juta lagi belum diberikan suntikan pelalian.

"Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mencapai persetujuan terhadap operasi ini dan kita bincang secara lanjut pada pagi tadi di peringkat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Menerusi 'operasi lonjakan kapasiti', kita akan pastikan setiap individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor akan terima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos," katanya pada sidang media khas CITF secara maya hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, 1.3 juta individu dewasa di Lembah Klang akan menerima dos pertama vaksin mulai sekarang hingga 25 Julai ini, manakala 1.3 juta lagi daripada 26 Julai hingga 1 Ogos.

Jelasnya, keupayaan dan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang akan ditingkatkan, susulan pelaksanaan operasi berkenaan, daripada 180,000 dos sehari kepada 272,000 dos sehari.

"Kita juga akan buat penyesuaian penghantaran vaksin ke negeri, manakala kapasiti semua PPV, termasuk seliaan Protect Health akan ditambah.

"Perbincangan sudah dibuat bersama Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) berhubung pelaksanaan operasi ini.

"Seramai 250,000 individu daripada 1.3 juta yang akan terima vaksin daripada 26 Julai hingga 1 Ogos ini, akan ditumpukan dalam kalangan penerima pekerja industri.

"Justeru, Menteri Besar Selangor melantik (Ahli Parlimen Bangi) Ong Kian Ming untuk menyelaras pemberian vaksin industri di Selangor menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) manakala bagi Kerajaan Persekutuan ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong," katanya.

Berdasarkan perangkaan semasa, Khairy Jamaluddin berkata, 11 peratus daripada individu berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang didapati masih tidak membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan pelalian masing-masing.

Sehubungan itu, beliau meminta individu sedemikian melakukan pendaftaran, selari usaha kerajaan untuk memperhebatkan program imunisasi dan kawalan wabak seperti yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagi individu di Lembah Klang yang tiada dalam sistem DOSM atau tercicir, seperti migran dan tiada dokumen, kita buat keputusan mereka boleh mendapatkan vaksin secara 'walk in' (terus) di mana-mana PPV di Kuala Lumpur serta Selangor, sebaik semua urusan selesai pada 1 Ogos.

"Operasi lonjakan kapasiti ini tidak akan mencetuskan sebarang gangguan bekalan vaksin di negeri-negeri lain, kerana kita mempunyai jumlah pelalian yang mencukupi.

"Vaksin yang akan diberikan sepanjang operasi di Lembah Klang ini ialah 50 peratus Pfizer dan 50 peratus Sinovac," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 7:21 PM