FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) telah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai, iaitu 4.5 bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal.

Syarikat farmaseutikal itu berkata, memandangkan jumlah suntikan dos pertama di kesemua negeri sudah hampir mencecah enam juta, arahan telah diberikan untuk memberhentikan pemberian dos pertama.

"Kini syarikat menumpukan kepada pemberian dos kedua bagi mengelakkan kes kehabisan stok untuk dos kedua sekiranya dos pertama diberi lebih daripada enam juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kontrak pembekalan Pharmaniaga kepada kerajaan adalah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac secara pengisian dan pembotolan dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei dan November 2021.

"Apabila kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak dari Mac 2021, Pharmaniaga telah membuat langkah proaktif menyegerakan pembekalan vaksin Sinovac dengan membuat pemesanan vaksin import untuk diagihkan seiringan dengan agihan vaksin jenis pengisian dan pembotolan," katanya.

Pharmaniaga juga bersedia membuat pembekalan tambahan sekiranya kerajaan berhasrat untuk meneruskan penggunaan vaksin Sinovac dalam PICK.

"Syarikat telah membuat tawaran penambahan bekalan sebanyak dua juta dos kepada kerajaan dan sedang menunggu keputusan rasmi mengenainya," katanya.

Sementara itu, Pharmaniaga akan terus membekalkan vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak swasta yang telah lama menunggu bekalan bagi mempercepatkan program vaksinasi selari dengan PICK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:11 PM