Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peningkatan kes Covid-19 di Negeri Sembilan kebelakangan ini disebabkan saringan bersasar yang dilakukan majikan ke atas pekerja sektor pembuatan dan perindustrian serta saringan kontak rapat dan bergejala.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sedar peningkatan kes wabak itu meresahkan rakyat namun keputusan untuk membuka dan menutup sesuatu premis perniagaan itu adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Ordinan Darurat.

"Dalam keadaan biasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menutup sesuatu premis apabila melanggar syarat dan peraturan.

"Walaupun berpandukan Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, hanya kerajaan Persekutuan berhak memberi kuasa kepada mana-mana sektor ekonomi yang boleh dibuka dan ditutup," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,603 kes baharu Covid-19 berbanding 1,537 kelmarin.

Menjelas lanjut, Aminuddin berkata kilang-kilang yang diberi kebenaran beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antabangsa dan Industri (MITI) adalah yang sah di sisi undang-undang.

Katanya, ia bukan kilang haram sebaliknya kilang ini mempunyai lesen PBT yang masih sah tempoh beroperasi.

"Namun begitu, kerajaan negeri sudah meminta dan akan terus mendesak MKN agar mana-mana kilang yang dibenarkan beroperasi tetapi dikesan terdapat jangkitan kes Covid-19 walaupun hanya satu atau dua kes, premis berkenaan hendaklah ditutup selama 14 hari.

"Tindakan lanjut kilang berkenaan adalah dengan melakukan sanitasi penuh, menjalankan saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) kepada semua pekerja dan seterusnya memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan," katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak awal lagi kerajaan negeri berusaha menambah kuota dan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini bagi memastikan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat dapat dicapai.

Katanya, daripada 245,932 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri ini yang telah divaksin, hanya seramai 3,106 petugas atau 1.26 peratus dijangkiti.

"Daripada jumlah itu, hanya enam kes atau 0.2 peratus daripada petugas berkenaan yang dijangkiti dikategorikan sebagai kategori tiga dan ke atas.

"Data ini menunjukkan bahawa pemberian vaksin yang berkesan mampu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan terutamanya dalam aspek penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Menurutnya, sehingga 14 Julai lalu, seramai 359,662 orang atau 44.16 peratus rakyat negeri ini telah menerima suntikan dos pertama, manakala seramai 148,823 orang (18.27 peratus) selesai divaksinkan.

Beliau berkata, kapasiti harian PPV di Negeri Sembilan ketika ini mula mencapai jumlah melebihi 20,000 vaksin sehari.

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk meningkatkan lagi keupayaan program vaksinasi dengan memanfaatkan semua kemudahan awam yang ada seperti dewan orang ramai, balai raya dan dewan sekolah selain kaedah pemberian vaksin.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 2:31 PM