DR Zulkifli ketika sesi khas dengan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi yang diadakan secara maya.
DR Zulkifli ketika sesi khas dengan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi yang diadakan secara maya.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Doakanlah kepada negara kita Malaysia, seluruh umat Islam, keluarga dan rakan dalam mendepani pandemik Covid-19."

Demikian permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri buat 263 bakal jemaah haji Malaysia di Arab Saudi menerusi sesi khas yang diadakan secara maya malam ini.

Menurutnya, mereka antara 60,000 bakal jemaah haji yang dipilih melaksanakan rukun Islam kelima di Tanah Suci pada tahun ini dan dijangka berangkat pada Sabtu ini.

Katanya, jumlah bakal jemaah Malaysia pada tahun ini lebih besar berbanding tahun lalu hanya lapan orang.

"Anda semua tetamu istimewa dipilih Allah SWT dan akan berada di tempat antara mustajab doa di Arafah, justeru berdoalah demi kesejahteraan Malaysia.

"Saya mohon gunalah masa haji itu untuk memperbanyakkan ibarah, zikir dan doa kepada Allah," katanya.

Sesi khas bersama kira-kira 200 bakal jemaah haji itu berlangsung selama satu jam dengan pengisian tazkirah dan soal jawab oleh peserta.

Sementara itu, Dr Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah Malaysia terbabit kerana terpilih melaksanakan ibadah itu tahun ini.

Beliau kemudian memimpin doa pada akhir sesi berkenaan dan berharap semua bakal jemaah akan mendapat haji mabrur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 11:51 PM