FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Seremban: Golongan penternak mahu kerajaan Negeri Sembilan mempertimbangkan semula keputusan penangguhan aktiviti penyembelihan di negeri itu bersempena Hari Raya Aidiladha, Selasa hadapan.

Penternak lembu, Anuar Mohammad, 46, mencadangkan aktiviti penyembelihan dilaksanakan melalui rumah sembelih bukan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Gemencheh yang mampu menyembelih 180 ekor ternakan sehari.

"Stok ternakan lembu diambil sejak Januari, penangguhan ini memang merugikan penternak. Purata jualan ternakan saya bagi perayaan Aidiladha ini adalah 90 ekor. Rakan penternak lain seperti di Rantau mempunyai 150 ekor ternakan manakala di Beranang pula, 200 ekor," katanya tadi.

Media kelmarin melaporkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan memutuskan tiada aktiviti ibadah korban dibenarkan di seluruh negeri ini bersempena Aidiladha.

Anuar yang menjalankan penternakan di Ladang Center Kampung Titian Akar, Rembau sejak kira-kira 25 tahun lepas menyifatkan penangguhan aktiviti penyembelihan perlu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada penternak merancang kaedah lain ke atas hasil ternakan mereka.

Menurutnya, dia kerugian hampir RM200,000 membabitkan kira-kira 50 ekor ternakan akibat penangguhan aktiviti penyembelihan itu.

Kamarudin Ibrahim, 32, pula berkata, dia terpaksa membatalkan tempahan 18 ekor lembu membabitkan jualan lebih RM80,000.

Dia yang menternak kerbau dan lembu di Kampung Chembong Kecil, Rembau berharap kerajaan negeri mengambil alternatif dalam membantu penternak di negeri ini agar tidak mengalami kerugian besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:50 PM