VAKSIN keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China. FOTO arkib NSTP
VAKSIN keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menghentikan pengagihan vaksin Sinovac dengan digantikan vaksin Pfizer di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bekalan vaksin berkenaan akan ditamatkan mulai akhir Julai ini.

"Untuk makluman bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir Julai dan akan digantikan dengan vaksin Pfizer.

"Oleh yang demikian mulai 18 Julai ini, semua PPV hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac.

"Tiada lagi bekalan untuk dos pertama mulai tarikh berkenaan," katanya menerusi notis pemberitahuan yang bertarikh 13 Julai.

Sementara itu, Dr Zaini ketika dihubungi mengesahkan notis berkenaan benar namun tidak menjelaskan kenapa vaksin berkenaan dihentikan.

Bagaimanapun katanya, ia tidak membabitkan pengurangan bekalan vaksin kepada negeri itu.

"Selepas ini Kelantan hanya gunakan Pfizer sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 1:20 PM