GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Empat lokaliti di Sabah dan satu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Jumaat hingga 29 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD itu ialah Kampung Lubak, Beaufort; Blok 2, Blok 6 dan Blok 9, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Sandakan; Blok Angsana dan Blok Sumboi-Sumboi, Kampung Seberang Benoni, Papar dan Kampung Melalam, Sipitang.

Menurutnya, PKPD di Sarawak pula dikenakan di Kampung Jagoi Duyoh, Bau.

"PKPD di semua lokaliti akan dilaksanakan selama 14 hari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 29 Julai depan.

Katanya, empat lokaliti pula ditamatkan PKPD iaitu Jalan Kubur, Kuala Lumpur, Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan; Taman Public, Kota Kinabalu dan Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan mulai esok.

"PKPD bagi Kampung Gusi Kinarut, Papar di Sabah pula ditamatkan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:02 PM