MUHAMMAD Arif hanya sempat menyelamatkan beras selepas motosikal terbakar dengan tiba-tiba. Gambar kanan, kesan kebakaran pada motosikal. FOTO Ihsan Muhammad Arif
MUHAMMAD Arif hanya sempat menyelamatkan beras selepas motosikal terbakar dengan tiba-tiba. Gambar kanan, kesan kebakaran pada motosikal. FOTO Ihsan Muhammad Arif
Redzuan Muharam


Banting: "Ketika itu, saya hanya terfikir untuk selamatkan beras saja, jika ia terbakar tak tahu apa jadi kerana bekalan di rumah sudah habis," kata penjaga lembu Muhammad Arif Mohamad Ngatli.

Kisah Muhammad Arif, 21, yang menetap di Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang, di sini, mendapat perhatian netizen selepas tular video dimuat naik pengguna dikenali Reffi di TikTok.

Video itu menunjukkan sebuah motosikal tiba-tiba terbakar sebaik Muhammad Arif cuba menghidupkan enjinnya.

Lebih mengundang hiba apabila pemuda yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu dilihat tidak sempat berbuat apa-apa kecuali mengambil beras dalam raga motosikal.

Bercerita lanjut, Muhammad Arif berkata, kejadian itu berlaku kira-kira seminggu yang lalu ketika dia baru selesai membeli beras di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya.

"Saya ke kedai itu kira-kira 12 tengah hari dan dalam perjalanan, motosikal itu tidak meragam.

"Entah kenapa, motosikal itu terbakar dengan tiba-tiba sebaik enjin dihidupkan ketika saya mahu bergerak pulang ke rumah.

"Terkejut juga melihat api marak dan ketika itu, saya terpandang beras di dalam raga dan segera mengambilnya.

"Mujur sempat kerana risau juga jika pulang ke rumah dengan tangan kosong kerana emak sudah amanahkan saya beli beras itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Arif, hanya bahagian hadapan motosikal yang terbakar.

Katanya, sebaik api dapat dipadamkan, penduduk yang ada di situ membantunya menolak motosikal itu sehingga sampai ke rumah.

"Motosikal itu adalah kepunyaan ayah (Mohamad Ngatil Selamat, 59) tetapi saya sering menggunakannya untuk ke ladang, kebun dan bergerak di sekitar taman.

"Kiranya, motosikal itu adalah kenderaan harian saya dan selepas kejadian itu, ia masih boleh digunakan lagi cuma tidak berfungsi dengan baik seperti sebelum ini.

"Sedih juga kerana ia satu-satunya motosikal yang saya ada dan tidak pernah meragam atau rosak sebelum ini," katanya.

Berhubung videonya yang tular, Muhammad Arif berkata dia tidak sedar ada individu merakam kejadian itu seterusnya memuat naik rakaman video di TikTok.

"Saya tiada akaun TikTok dan tidak tahu video itu sudah tular hingga diberitahu oleh kakak (Siti Amira, 31).

"Terima kasih kepada yang prihatin hingga sanggup membantu selepas menonton video itu. Lebih buat saya terharu apabila pemimpin setempat turut datang ke rumah tiga hari lalu untuk mengetahui keadaan saya dan memberi sumbangan wang tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 2:13 PM