GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor hanya tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) saja.

Ia tidak membabitkan hal ehwal kesihatan berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang berkenaan dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, Akta 171 khususnya Seksyen 107(2), adalah untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT.

"Seksyen ini dirujuk; 'Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.'

"Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ianya dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

"Seksyen ini juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, sejak 18 Mac tahun lalu, penentuan prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan melalui Akta 342 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Selangor.

"Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak COVID-19," katanya.

Beliau berkata, ketika PKP kali pertama pada 18 Mac tahun lalu, pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui Seksyen 3(1) adalah pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela.

"Bidang kuasa berkenaan meliputi penentuan sektor sosial yang dibenarkan, kawalan pergerakan termasuk pergerakan merentas daerah atau negeri, sektor ekonomi dan premis yang boleh beroperasi atau diarahkan tutup, serta proses penentuan kesalahan dan penalti terhadap syarikat atau individu didapati ingkar syarat yang ditetapkan.

"Pada 3 Mac lalu, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai terbabit merangkumi Badan Berkanun dan PBT agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas SOP," katanya.

Menurutnya, perlu diingat, pindaan berkenaan bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang sebaliknya membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di PBT membantu menguatkuasakan SOP dan arahan kerajaan persekutuan.

"Kuasa itu masih di bawah kerajaan persekutuan. Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh.

"Operasi itu dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana PBT Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa.

"Berdasarkan laporan PDRM sehingga 12 Julai lalu, sejumlah 39,604 pemeriksaan dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang diarah tutup," katanya.

Justeru itu katanya, perkara berkait operasi sektor pengilangan bagi tujuan pengawalan Covid-19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa Pengendalian Piawai PKP/PKPB/PKPD ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 10:52 AM