PERDANA Menteri melawat wad kecemasan yang merawat pesakit Covid-19 ketika mengadakan lawatan di HTAR semalam. FOTO Bernama
PERDANA Menteri melawat wad kecemasan yang merawat pesakit Covid-19 ketika mengadakan lawatan di HTAR semalam. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Klang: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menafikan kenyataan yang tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu dikosongkan bagi menerima lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, dakwaan itu tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

Katanya, pada 8 Julai lalu, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

"Pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit Covid- 19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa.

"Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke Wad Covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ianya bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma.

"Justeru, kenyataan yang tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma dikosongkan kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri, semalam adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemindahan pesakit Covid-19 ke ACC yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil Pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Katanya, trend semasa di jabatan berkenaan menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit.

Menurutnya, pesakit yang masih belum menerima rawatan di jabatan itu sehingga semalam adalah seramai 177.

Dr Zulkarnain turut mengulas isu pemindahan doktor pelatih dari Asrama Doktor Pelatih HTAR ke Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, pemindahan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C asrama doktor pelatih memandangkan Blok D asrama itu sudah digunakan sebagai Pusat Saringan Covid (PSC) sejak April lalu.

"Saya sudah mengadakan lawatan ke Blok A asrama berkenaan bersama Unit Pembangunan, Jabatan Perubatan, Unit Pentadbiran dan Unit Fasiliti Hospital pada 5 Julai lalu dan kami membuat keputusan untuk menukar fungsi Blok A dan B sebagai Wad Covid-19 Kategori satu dan dua.

"Justeru, penghuni Blok A asrama yang menempatkan 10 doktor pelatih wanita dan Blok B (dua doktor pelatih lelaki) dipindahkan selepas kerja penyelenggaraan dibuat di Blok B dan E asrama pelajar perubatan UM," katanya.

Beliau berkata, notis dikeluarkan kepada semua penghuni asrama supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak Jumaat lalu untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

Katanya, semua pemindahan doktor pelatih itu selesai dilakukan pada Isnin lalu dan Blok A serta B asrama itu kini sudah ditukarkan kepada Wad Covid-19 Berisiko Rendah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 10:33 AM