GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Saringan tiga kluster sedia ada menjadi antara penyumbang utama jumlah kes Covid-19 membabitkan Kota Kinabalu sekali gus menjadikan daerah terbabit mencatatkan kes tertinggi di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes tinggi dengan 77 kes baharu direkodkan di daerah berkenaan membabitkan saringan Kluster Tembok Kota Kinabalu, Kluster Agora Borneo dan Kluster KKIP Empat Timur.

Menurutnya lagi, selain dari saringan kluster sedia ada, saringan kontak rapat, saringan bergejala, saringan bersasar dan saringan lain-lain juga turut menyumbang jumlah kes terbabit.

"Saringan dari tiga kluster sedia ada membabitkan Kluster Tembok Kota Kinabalu dengan 22 kes, Kluster Agora Borneo dengan tujuh kes dan Kluster KKIP Empat Timur pula mencatatkan satu kes.

"29 kes pula dikesan daripada saringan kontak rapat, lapan kes daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan empat kes daripada saringan lain-lain kes.

"Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster yang berpunca daripada banduan Penjara Kepayan dan Kluster Agora Borneo adalah kluster yang berkaitan dengan kes daripada Pasaraya Bataras, 1Borneo Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Selain Kota Kinabalu yang mencatatkan jumlah kes tertinggi semalam diikuti dengan daerah Beaufort mencatatkan sebanyak 29 kes, Tawau (26); Kudat (19); dan Kota Belud (18).

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 239 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,850 kes dan dua kes kematian dilaporkan membabitkan Sandakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:19 AM