FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Semua 453 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam di Selangor perlu menjalani kuarantin selepas melakukan ujian saringan Covid-19 dan tidak akan bertugas buat sementara waktu.

Difahamkan, mereka akan menjalani kuarantin antara 10 ke 14 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan menyelaras semula petugas yang akan menggantikan semua petugas terbabit.

Ketika ini, katanya, pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keputusan ujian saringan petugas, termasuk mereka yang negatif.

"Dari segi petugas saya difahamkan ia sedang diselaraskan semula oleh CITF Pusat. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkongsi mengenai Soalan Lazim Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter yang menjelaskan, pemantauan kendiri sangat penting kerana gejala terhadap wabak boleh timbul dalam tempoh 10 hari.

Katanya, selepas tempoh itu, risiko infektiviti adalah rendah dan pemantauan boleh dihentikan.

"Aktiviti pengasingan dan pengesanan sudah bermula sejurus keputusan diberikan serta masih dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas semua petugas terbabit (PPV IDCC)," katanya.

Beliau juga memaklumkan orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada petugas PPV itu yang positif Covid-19 atau disyaki Covid-19, akan dihubungi KKM dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:13 PM