GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Shah Alam: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, akan ditutup selama sehari, hari ini berikutan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugasnya.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan tengah malam tadi berkata, langkah segera penutupan itu diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi.

Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC antara 29 Jun hingga 12 Julai lalu untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala, supaya menjalankan ujian saringan Covid-19," katanya.

Kenyataan itu berkata, susulan penutupan PPV IDCC hari ini, janji temu yang diberikan untuk 13 Julai akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.

Katanya, butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 03-88934303.

Semalam, satu mesej tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai seorang individu yang disahkan positif kes Covid-19 selepas lelaki itu hadir mendapatkan vaksin di PPV IDCC.

Seseorang yang mengakui anak kepada lelaki itu, meminta sesiapa yang mendapatkan vaksinasi antara jam 5.30 hingga 6.30 petang pada tarikh yang tidak dinyatakan, untuk membuat ujian pengesanan berikutan bapanya dikesan positif sehari kemudian.

Khamis minggu lalu, BH melaporkan, proses vaksinasi oleh PPV di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) dekat Serdang di sini, terhenti beberapa jam selepas seorang individu positif Covid-19 dikesan hadir ke situ.

CITF dalam satu kenyataan ringkas pada 7 Julai, berkata seorang wanita yang mempunyai janji temu di PPV MIECC, hadir pada tarikh berkenaan dan hanya mengetahui bahawa beliau adalah positif Covid-19 selepas tiba di PPV berkenaan apabila dihubungi pusat perubatan yang menjalankan ujian COVID-19 terhadapnya.

Wanita itu dikatakan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sehari sebelum ke PPV MIECC bagi mendapatkan suntikan vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:03 AM