Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya. FOTO Bernama.
Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya. FOTO Bernama.
BERNAMA

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sebanyak lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.

Pegawai siasatan tempat kejadian Inspektor V Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi.

"Ada jumpa juga empat helai rambut pada tilam," kata saksi pendakwaan ke-14 itu semasa ditunjukkan barang kes bagi tujuan pengecaman.

Beliau berkata, antara barang kes lain yang diambil dari tempat kejadian ialah mop, seluar dalam lelaki warna kelabu, pakaian, seluar pendek warna biru, seluar dalam warna merah jambu dan baju dalam warna biru.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang mendengar perbicaraan kes itu kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan saksi itu akan menyambung keterangannya esok.

Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Adun Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Chor Pei Sun, 47, kakitangan Bahagian Pemasaran Jualan di agensi pembantu rumah yang menguruskan pekerjaan mangsa yang menyatakan syarikat tersebut pernah menerima panggilan daripada majikan berhubung isu pemeriksaan kesihatan warga Indonesia itu sebelum kejadian.

"Saya pernah terima panggilan daripada majikan iaitu Puan Yong sebelum kes ini yang tanya mengenai pemeriksaan kesihatan dia (mangsa) ada masalah atau tidak," kata saksi pendakwaan ke-11 itu ketika disoal peguam Salim Bashir.

Chor bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Salim bahawa isteri Yong telah menghubunginya untuk mengetahui sama ada mangsa mempunyai isu mental sebelum dibawa ke negara ini.

Saksi itu juga berkata, dia hanya sekali menerima panggilan daripada majikan mangsa iaitu berkaitan pemeriksaan kesihatannya sama ada diluluskan atau tidak oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan tiga lagi saksi iaitu Kwan Mei Yee, 46, kerani agensi pembantu rumah yang menjawab panggilan daripada pihak Kedutaan Besar Indonesia yang memaklumkan mengenai aduan mangsa pada 8 Julai 2019.

Dua lagi ialah pengarah agensi pembantu rumah itu Hong Ngin Sin dan pemandu syarikat tersebut, Tan Cheoh Teong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:16 PM