NADZIM menggunakan TikTok untuk menyampaikan mesej kepenggunaan.
NADZIM menggunakan TikTok untuk menyampaikan mesej kepenggunaan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjadikan aplikasi TikTok sebagai medium terbaru memberi kesedaran kepada pengguna di seluruh negara.

Sejak seminggu lalu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan 'beraksi' di aplikasi itu dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan kepenggunaan termasuklah halal dan penipuan atau scammer.

Nadzim berkata, setakat ini beliau menerima maklum balas positif mengenai usaha itu daripada pelbagai pihak.

"Ini kerja untuk pengguna. Kalau ikutkan usia, ia mungkin lebih sesuai kalau orang muda di depan kamera seperti ini.

"Tetapi saya tidak mahu ketinggalan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Mula-mula kekok kerana dipaksa (kakitangan PPIM), tapi demi pengguna di Malaysia, saya gigihkan juga.

"Sejak 20 tahun lalu, kita sudah buat macam-macam. Kenyataan media, rakaman video, langsung di Facebook dan Instagram dan kali ini TikTok pula," katanya.

Nadzim berkata, usaha itu akan diteruskan bagi memastikan orang ramai sentiasa diingatkan mengenai pelbagai isu terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kehidupan berubah.

Menerusi TikTok katanya, beliau memberi pesanan ringkas mengikut situasi terkini di dalam negara.

Katanya, PPIM juga mengoptimumkan aduan secara online ketika PKPD bagi memudahkan orang ramai berurusan.

"Insha-Allah, bila keadaan reda nanti, kita akan teruskan secara bersemuka seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:27 PM