GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Bimbang tindakannya mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana menjual kereta diketahui, seorang lelaki membuat laporan palsu berhubung kenderaan terpakai jualannya yang dicuri pasangan kekasih di Taman Melodies di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 68 tahun terbabit mengundang padah apabila polis dapat menghidu perbuatannya itu, dalam masa sama polis turut berjaya memberkas pasangan kekasih yang mencuri kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, lebih kurang 9.30 pagi kelmarin, pihaknya menerima laporan daripada penjual kereta terpakai itu berhubung kehilangan kenderaan terbabit.

Beliau berkata, penjual kereta itu disoal siasat dan didapati membuat laporan palsu apabila cuba menyembunyikan kesalahannya mengingkari SOP PKP 3.0.

"Siasatan mendapati, penjual kereta itu diperdaya pasangan kekasih berusia lingkungan 20-an yang berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan kereta Honda dijualnya.

"Penjual kereta itu tidak bersubahat dengan pasangan kekasih berkenaan dalam kes ini, dia membuat laporan palsu berkaitan lokasi sebenar kenderaan dicuri bagi tujuan tuntutan insuran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan dibantu anggota Balai Polis Simpang Renggam, membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Berjaya, Simpang Renggam.

Katanya, polis berjaya menangkap suspek serta merampas kereta Honda yang dilaporkan hilang, manakala semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau dan masih kehendaki polis.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Pengadu (penjual kereta) yang membuat laporan palsu disiasat mengikut Seksyen 379A atau 182 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 9:59 PM