HANAN dari Kampung Batu Rakit, berbaju dan berkain batik ke PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menerima suntikan vaksin dos pertama. FOTO ihsan UNISZA
HANAN dari Kampung Batu Rakit, berbaju dan berkain batik ke PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menerima suntikan vaksin dos pertama. FOTO ihsan UNISZA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Wanita mencuri tumpuan ramai apabila hadir berbusana Melayu tradisional untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Hanan Hashim, 30, dari Kampung Batu Rakit, di sini, tampil anggun dengam berbaju dan berkain batik untuk menerima suntikan vaksin dos pertama seawal jam 9 pagi dengan ditemani adiknya, Nur Athirah, 24.

Katanya, dia sudah memasang niat untuk mengenakan pakaian tradisional ketika hadir ke PPV bagi mendapatkan vaksinasi.

"Bukan sengaja untuk menarik perhatian orang ramai, tetapi sekadar mencipta 'sejarah' untuk diri sendiri.

"Sebelum ini saya gemar berpakaian santai seperti berseluar jeans dan tidak pernah berpakaian seperti ini. Justeru, apabila dipanggil untuk menerima vaksin, saya sangat teruja dan ingin membuat kelainan.

"Lagipun hari ini adalah hari bersejarah menerima vaksin, oleh itu tidak salah saya berpakaian mengikut kepuasan diri," katanya.

Katanya, dia tidak kisah apa pandangan orang sekeliling terhadap penampilannya, tetapi rata-rata memberi respons positif.

"Tiada rasa segan sangat sebab pakai pelitup muka dan semua yang hadir ke PPV bukan di kalangan orang yang dikenali," katanya.

Katanya, dia akan menerima dos kedua vaksin Covid-19 pada 1 Ogos depan dan mungkin mengenakan pakaian yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 5:57 PM