ISMAIL Sabri bersama Rina melambaikan tangan kepada penduduk setempat semasa meninjau di PPR Kerinchi, Perumahan Pantai Permai yang dikenakan PKPD. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri bersama Rina melambaikan tangan kepada penduduk setempat semasa meninjau di PPR Kerinchi, Perumahan Pantai Permai yang dikenakan PKPD. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dalam keadaan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi, semua pihak perlu bersatu dan bersama-sama untuk memerangi pandemik itu.

"Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan saja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat.

"Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

PPR Kerinchi dikenakan PKPD bermula 3 hingga 16 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 12:23 PM