GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19, sekiranya ada bukti kukuh yang menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM ketika ini hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara 'off label' (ubat di luar indikasi tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab) sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

"Sekarang ini kita boleh gunakan Ivermectin dalam negara dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan 'off label' seperti digunakan dahulu untuk ubat anti malaria dan HIV.

"Penggunaannya tidak didaftarkan tetapi dibenarkan sehingga kita ada bukti kukuh," katanya ketika diundang sebagai panel program 'The Nation' bertajuk 'Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita' yang disiarkan secara langsung menerusi BERNAMA TV, malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga giat menjalankan kajian untuk mengenal pasti keberkesanan dan kesan sampingannya bagi pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima.

"Ivermectin adalah ubat antiparasit yang dikenal pasti dari tahun 70-an, ia ada kesan antiviral. Saya sendiri sekitar empat tahun lepas mengesyorkan penggunannya untuk (merawat) denggi.

"Saya kemukakan cadangan ini kerana Ivermectin ada kesan antiviral. Kita sudah menjalankan kajian di Thailand dan kajian permulaan menunjukkan untuk mendapatkan kesan antiviral ini, dosnya amat tinggi," katanya.

Beliau menjelaskan, ada kesan sampingan ivermectin yang tidak dimaklumkan, antaranya Ataxia atau masalah keseimbangan, sawan dan seumpamanya.

Mengulas kemungkinan ubat itu akan dipertimbangkan untuk merawat pesakit Covid-19, Dr Noor Hisham berkata perkara itu masih dalam penelitian.

"Insya-Allah, ada yang kita sudah benarkan penggunaan secara off label, tetapi dengan pemantauan rapi petugas hospital," katanya.

Pada awal bulan lalu, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham sebelum ini menjelaskan, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja.

Bagaimanapun, keengganan KKM menggunakan Ivermectin mengundang ketidakpuasan hati ramai termasuk doktor pakar dan persatuan pengguna.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 10:24 AM