AHMAD (dua kiri) meninjau penyediaan bakul makanan Wanita UMNO di Dewan UMNO. FOTO Ihsan UMNO Pontian
AHMAD (dua kiri) meninjau penyediaan bakul makanan Wanita UMNO di Dewan UMNO. FOTO Ihsan UMNO Pontian
Mohamed Farid Noh

Pontian: Ahli Parlimen Umno perlu mengundi mengikut keputusan parti, jika tindakan undi tidak percaya atau percaya terhadap kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) ketika persidangan Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahli Parlimen parti itu terikat dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diputuskan pada Rabu lalu.

Menurutnya, ia dianggap disiplin dan etika parti selari dengan Perlembagaan Umno meskipun boleh menggunakan budi bicara untuk menyokong atau sebaliknya.

"Ahli Parlimen Umno masih lagi terikat dengan keputusan MKT selain etika parti. Ketika ini ditimbulkan yang Ahli Parlimen boleh guna budi bicara jika berlaku pengundian di Dewan Rakyat kelak.

"Namun budi bicara itu mesti bertempat, budi bicara Ahli Parlimen Umno mestilah berlandaskan parti , jangan Ahli Parlimen Umno tetapi budi bicaranya mengikuti parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penyediaan bakul makanan Wanita Umno di Dewan Umno di sini, hari ini.

Mesyuarat MKT Umno pada Rabu lalu membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya selepas mesyuarat itu dilaporkan berkata bahawa ketetapan berkenaan diambil berpandukan tujuh kegagalan PN yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menolak dakwaan penarikan sokongan Umno itu untuk memberi peluang kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Itu hanya dakwaan Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul yang berfikiran begitu.

"Dalam kerajaan sekarang, Umno dan Barisan Nasional (BN) memiliki majoriti sebagai parti terbesar dengan 43 kerusi.

"Bersatu dengan 31 kerusi adalah yang kedua, namun terdapat 15 kerusi dalam parti itu yang asalnya adalah kerusi Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:02 PM