SAARANI. FOTO Ihsan pembaca
SAARANI. FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

Tapah: Empat kilang di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini, diarahkan tutup serta merta.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kilang itu dipercayai punca berlakunya penularan Covid-19 di mukim berkenaan dan pekerja kilang yang kebanyakannya warga asing, kini ditempatkan di dua bangunan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sungkai dan Chenderiang.

Katanya, pekerja warga asing itu kebanyakannya menyewa rumah di kawasan perumahan, bukan tinggal di asrama.

"Kalau pekerja ini tinggal di asrama, sudah tentu mudah kita mengawal pergerakan mereka dan mungkin hanya perlu buat PKPD di asrama sahaja.

"Tapi mereka tinggal di rumah sewa, jadi semua kilang ini ditutup, pekerjanya dipindahkan ke PLKN untuk memudahkan mengawal pergerakan mereka, sekali gus mengelak penularan wabak," katanya ditemui selepas meninjau Program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road, di sini.

Saarani berkata, pengasingan pekerja warga asing di PLKN juga akan memudahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian calitan kepada mereka dan penduduk tempatan.

Beliau turut mengingatkan mereka terbabit dalam kawasan PKPD itu supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, manakala bantuan makanan akan diagih termasuk dikelola parlimen itu yang membabitkan 7,000 kotak makanan.

Katanya, dua mukim itu mempunyai kira-kira 22,000 rumah dan kerajaan negeri akan menambah peruntukan bantuan bagi membantu penduduk meneruskan kelangsungan hidup.

PKPD Mukim Bidor dan Batang Padang hingga 23 Julai, selepas KKM mengesan 523 kes positif Covid-19 dan menunjukkan peningkatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 4:40 PM