PEKERJA menguruskan tong oksigen untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Putrajaya sebagai kesiapsiagaan mengurus kes yang kian bertambah sejak kebelakangan ini. FOTO Bernama
PEKERJA menguruskan tong oksigen untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Putrajaya sebagai kesiapsiagaan mengurus kes yang kian bertambah sejak kebelakangan ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan Hospital Selayang menghadapi kekurangan bekalan tangki oksigen sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini dan tiada inisiatif kutipan dana dilakukan untuk hospital berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman menerusi hantaran di Facebook JKNS berkata Hospital Selayang mempunyai sejumlah 1,325 port dan setakat ini bekalan tangki oksigen adalah mencukupi.

"Dimaklumkan bahawa inisiatif kutipan dana tersebut tidak dilakukan oleh mana-mana anggota Hospital Selayang. Pengurusan Hospital Selayang atau kakitangan hospital juga tidak meminta mana-mana pihak untuk mengumpulkan dana bagi pihak Hospital Selayang," katanya.

Sementara itu, Selayang Hospital menerusi hantaran Facebook turut menafikan menghadapi masalah kekurangan bekalan oksigen.

"JKNS menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan kiriman media sosial yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak menyebarkannya. Sila hubungi terus pihak hospital jika mempunyai sebarang pertanyaan," menurut hospital berkenaan yang turut berkongsi dua keping gambar bagi menafikan kutipan derma yang sedang dibuat pihak tertentu untuk hospital berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 4:07 PM