PPV di MITEC, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
PPV di MITEC, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dilantik sebagai satu daripada pusat vaksinasi perindustrian yang ditetapkan (PPVIN) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama AWAM-SWASTA (PIKAS).

Inisiatif PIKAS adalah bertujuan untuk memudahkan usaha kerajaan mempercepat program vaksinasi dalam kalangan tenaga kerja Malaysia dan mengurangkan bilangan kluster Covid-19.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MITEC Mala Dorasamy berkata, pusat PIKAS di MITEC adalah khusus kepada syarikat daripada sektor pembuatan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Pelancaran pusat vaksinasi perindustrian itu adalah penting dengan keperluan mendesak untuk mempercepat kemajuan vaksinasi bagi memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

"Inisiatif ini akan melindungi kesejahteraan pekerja dan menggerakkan pemulihan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), secara kerjasama dengan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) juga memperkenalkan Program Pengelola Acara Perniagaan (BE) sebagai menyokong inisiatif vaksinasi negara.

"Sebagai menyokong program PIKAS, pengamal BE, termasuk pasukan pengurusan venue, sebagai petugas barisan hadapan bukan penjagaan kesihatan akan membantu pentadbiran pusat PPV MITEC PIKAS.

"Ini akan dapat membantu pasukan profesional dan memudahkan proses vaksinasi bagi semua penerima," kata Mala.

Penyelaras projek PPV MITEC PIKAS Dr Zool Raimy Abdul Ghaffar, yang juga daripada Mudah Healthcare Sdn Bhd berkata, program PIKAS mendapat sambutan positif daripada syarikat-syarikat.

"Kami mempunyai hampir 30 doktor perubatan, jururawat dan sukarelawan minggu ini dan menyasar meningkatkan jumlah itu kepada 60 orang minggu depan.

"Kami menjangka kapasiti vaksinasi akan ditingkatkan kepada lebih daripada 1,000 penerima bermula minggu kedua dan seterusnya," katanya.

Mudah Healthcare adalah penganjur penjagaan kesihatan yang dilantik oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan.

ProtectHealth dilantik oleh Kementerian Kesihatan sebagai pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 1:15 PM