Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Demi membantu penduduk sekitar yang kesusahan ketika tempoh pandemik Covid-19, bekas ahli Al-Maunah ini menjadikan kedai jahitnya sebagai pusat 'Food Bank'.

Che Sabri Che Jaafar, 51, berkata, sudah dua minggu kedai jahitnya di Pulai Chondong di sini, dibuka kepada penduduk yang memerlukan, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Katanya, inisiatif itu dimulakan rakannya Nik Mokhtar Md Rashid, 41, dan dia membantu menyediakan tempat dan keperluan lain.

"Hampir setiap hari sekitar 20 hingga 30 orang datang untuk mengambil keperluan asas seperti gula, beras, sardin dan telur, malah ada yang terdesak, datang ketuk pintu kedai pada malam hari.

"Dalam situasi sekarang, ramai yang terkesan dengan pandemik, maka ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu meringankan beban dan menjaga satu sama lain," katanya ketika ditemui.

Che Sabri Che Jaafar, 51 (kanan) yang dibantu Nik Mokhtar Md Rashid, 41 (tengah) memberi makanan keperluan kepada seorang penduduk yang datang memgambilnya 'Food Bank' atau gerobok rezeki di kedai jahit miliknya di Pulai Chondong bagi membantu masyarakat sekitar yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Che Sabri Che Jaafar, 51 (kanan) yang dibantu Nik Mokhtar Md Rashid, 41 (tengah) memberi makanan keperluan kepada seorang penduduk yang datang memgambilnya 'Food Bank' atau gerobok rezeki di kedai jahit miliknya di Pulai Chondong bagi membantu masyarakat sekitar yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Nik Mokhtar yang juga pembekal gas berkata, dia sudah memulakan inisiatif membantu golongan susah ketika Ramadan lalu, menggunakan modal sendiri sebanyak RM2,000 dan diteruskan baru-baru ini apabila menyedari ramai golongan yang terjejas.

Katanya, dia kemudian memaklumkan kepada Che Sabri dan mengeluarkan modal RM1,600 untuk mewujudkan Food Bank itu, sebelum ada pihak lain yang tampil menyumbang sama.

"Kita dapat menambah stok setiap dua hari sekali buat penduduk memerlukan, malah mereka boleh ambil tanpa had, cuma kita harap mereka jujur dan tidak mengambil kesempatan," katanya.

Farida Awang, 56, yang mendapat manfaat daripada Food Bank itu berkata, pendapatannya sebagai pekerja kedai perabot terjejas sejak pandemik berlaku dan suaminya pula menghidap penyakit jantung.

Katanya, dia sangat bersyukur inisiatif gerobok rezeki itu yang sedikit sebanyak membantu dia sekeluarga ketika keadaan mendesak untuk kelangsungan hidup.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:59 PM