Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan aktiviti penyumberluaran ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti dalam usaha menangani keadaan kritikal berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan sudah meluluskan sejumlah peruntukan untuk penyumberluaran perkhidmatan perubatan.

"Ia bertujuan mengurangkan masa menunggu pesakit khususnya yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal (urgent/semi-urgent) seperti rawatan jantung dan kanser sebagai langkah kesiapsiagaan

hospital menghadapi wabak Covid-19.

"Ini akan memberi lebih banyak ruang dalam hospital KKM untuk menangani kes Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital selain memastikan rawatan kepada kes-kes bukan Covid-19 dapat terus diberikan.

"Pada tahun lalu, sebanyak RM 11 juta dibelanjakan kerajaan bagi aktiviti penyumberluaran perkhidmatan perubatan membabitkan 31 hospital swasta dengan 3,741 pembedahan dan prosedur berjaya dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti penyumberluaran diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan lebih RM39 juta diagihkan kepada 14 negeri untuk tujuan sama.

Katanya, setakat ini, sebanyak 72 buah hospital swasta terbabit dalam aktiviti penyumberluaran di seluruh negara.

"Susulan peningkatan kes mendadak di Lembah Klang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mempertingkatkan aktiviti penyumberluaran kepada hospital swasta berdekatan.

"Sejak 6 Julai lalu, seramai 25 pesakit dihantar ke hospital-hospital swasta yang dikenal pasti dan anggaran seramai empat pesakit akan dihantar setiap hari.

"Dianggarkan seramai 994 pesakit akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam bulan dengan peruntukan berjumlah RM 18 juta," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan makmal juga bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menambah kapasiti ujian Covid-19.

"Antara agensi-agensi yang terbabit adalah Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), universiti awam dan swasta serta makmal swasta yang diiktiraf.

"Sehingga kini, kapasiti ujian RT-PCR (Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) bagi semua makmal terbabit adalah 116,803 ujian sehari," katanya.

Menurutnya, sebanyak 92 makmal yang menjalankan ujian RT-PCR dengan 24 daripadanya adalah makmal hospital kerajaan, tiga makmal institusi dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

"Selain itu, terdapat empat Makmal Kesihatan Awam (MKA), makmal di Klinik Kesihatan, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 13 makmal di universiti, dua makmal dari Kementerian Pertahanan, satu makmal MOSTI dan 41 makmal swasta yang terbabit.

"Pihak KKM akan terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam apa jua keadaan yang dihadapi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 8:58 PM