FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan tuduhan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Penerangannya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan itu hanya tohmahan yang sering disebut dan diulang oleh pembangkang terutama PKR dan DAP.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan sudah diberi oleh kerajaan dalam membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion.

Katanya, tiada pakej bantuan lebih tinggi diumumkan seperti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun suntikan kepada pembinaan semula ekonomi negara.

"Pelan Pemulihan Negara (PPN) menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak Covid-19.

"Vaksinasi menjadi senjata utama kita dan bekalan vaksin yang diterima akan meningkat kepada 16 juta dos pada penghujung bulan ini. Pemberian vaksin harian juga meningkat kepada lebih 300,00 dos sehari.

"Dalam menjaga kebajikan, kesihatan dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan. Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa PN sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Bersatu berpandangan Ahmad Zahid sebenarnya gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan parti politik Melayu Islam.

Menurutnya, selain itu beliau juga gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat.

"Rakyat semakin muak dengan politik berlebihan, gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh Umno dalam kerajaan untuk bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi.

"Pengumuman dibuat Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada Ahli Parlimen.

"Bersatu berdiri teguh mendokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengambil sikap untuk meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Katanya, Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip ketelusan, bebas rasuah, berintegriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.

"Adalah lebih baik jika dalam hari, bulan dan tahun-tahun mendatang, seluruh masa dan tenaga kita ditumpukan kepada matlamat untuk menang bersama dalam menghadapi cabaran yang sedang melanda negara, bukan menimbulkan polemik politik yang tidak berkesudahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:46 PM