FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Pemimpin parti politik perlu bersama kerajaan dalam mendepani pandemik Covid-19 dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, pada waktu getir ini bukan masanya negara menukar Perdana Menteri atau kerajaan.

Katanya, semua parti politik perlu melihat keadaan negara berdepan dengan keadaan sektor kesihatan yang kritikal dan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Tumpuan seharusnya lebih terarah kepada penyelesaian mengurangkan penularan wabak Covid-19 dengan mengambil langkah-langkah lebih realistik dan bantu rakyat yang terkesan.

"Apabila semuanya sudah selesai, pulangkan kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka," katanya ketika mengulas keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Menurut Micheal, pihak berkenaan harus sedar apakah dengan menukar Perdana Menteri dalam masa terdekat ini boleh menjamin wabak Covid-19 di negara ini menurun dan rakyat dapat hidup normal?

"Lebih baik sekiranya mereka membuat saranan kepada kerajaan berkaitan idea dan langkah baharu dalam menangani penularan Covid-19 dan kesannya kepada rakyat.

"Jika ada cadangan yang bernas dan baik untuk rakyat, pemimpin parti politik boleh buat saranan kepada kerajaan dengan lebih serius," katanya.

Dalam pada itu Michael berharap prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditambah baik dengan memberi ruang kepada peniaga yang terkesan.

"Peniaga restoran khususnya sangat terjejas, mungkin SOP kebenaran 'dine-in' boleh dibuat dengan had masa tertentu kepada pelanggan di negeri yang masuk fasa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 2:51 PM