Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: "Dalam tempoh 30 minit sahaja, pelbagai barang keperluan yang diletakkan dalam but kereta habis diambil mereka yang sangat memerlukan," kata Azizul Abdul Rahim, 37.

Azizul yang bertugas di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meneruskan kerja kebajikan yang dilakukannya dengan membuka but kenderaan dipenuhi barang keperluan supaya ia boleh diambil individu yang memerlukan.

Katanya, dia mula melakukan kerja amal secara bersendirian sejak 10 tahun lalu dengan menggunakan wang gajinya bagi membeli barang keperluan sebelum disumbangkan kepada individu memerlukan dari rumah ke rumah termasuk golongan gelandangan.

"Namun, ketika pandemik Covid-19 apa saya dapati permintaan sangat meningkat dan saya cuba sedaya upaya membantu mengikut kemampuan.

"Selain menghantar barang keperluan dari rumah ke rumah dan menyantuni golongan gelandangan, selain ke sesebuah kawasan perumahan dan membuka but kereta dipenuhi barang keperluan untuk diambil mereka yang memerlukan.

"Barangan keperluan bernilai RM350 habis dalam tempoh sekejap sahaja kerana terlalu ramai sangat terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui di luar Pasar Awam Tasek Gelugor, di sini, semalam.

Katanya, selain menggunakan wang gajinya, dia turut mendapat dana daripada rakannya dan pihak lain yang turut mahu menyumbang bagi menjayakan kerja kebajikan yang dilakukannya.

AZIZUL menyusun pelbagai barangan keperluan bagi mereka yang memerlukan di ruang but kenderaannya berhampiran Pasar Tasek Gelugor di sini. FOTO Danial Saad.
AZIZUL menyusun pelbagai barangan keperluan bagi mereka yang memerlukan di ruang but kenderaannya berhampiran Pasar Tasek Gelugor di sini. FOTO Danial Saad.

"Saya pernah hidup susah dan tahu sangat betapa peritnya ibu bapa saya dulu nak beli barang sebab mereka bukan orang senang.

"Jadi, saya terdetik nak membantu, walaupun gaji saya tidak besar tetapi saya bahagia dapat meringankan beban individu lain," katanya yang dibantu isteri dan anak-anaknya.

Sementara itu, ibu tunggal, Saayah Yusof,52, berkata, dia terputus bekalan makanan selepas perkhidmatan cuci rumah ke rumah yang diusahakannya terjejas ekoran Covid-19.

"Apabila nampak ada program macam ini memang saya seronok sebab pada masa sekarang orang macam saya amat memerlukannya.

"Saya kematian suami pada 2017 dan kini membesarkan tiga anak perempuan termasuk seorang kurang upaya (OKU) berusia 18 hingga 25 tahun.

"Dua anak saya juga sudah tidak boleh bekerja pada masa ini dan ia menyebabkan kami susah sikit tetapi mujur ada ramai yang menghulurkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:26 AM