Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri akan menambah lagi kekuatan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelantikan Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Keselamatan bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Pelantikan Ismail Sabri bukan sesuatu mengejutkan kerana beliau antara anggota Kabinet paling kanan dalam kerajaan ketika ini sebagai Menteri Kanan Keselamatan.

"Pelantikan beliau adalah tepat kerana sebagai wakil tertinggi dalam Umno yang ada dalam kerajaan PN," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ahmad Martadha berkata, mengikut hirarki kepimpinan tertinggi Umno, Ismail Sabri antara penjawat tertinggi dalam kerajaan mewakili parti itu.

Beliau turut mengakui, pastinya pelantikan Ismail Sabri memperkukuhkan lagi kerajaan PN yang ketika ini agak goyah.

"Walaupun kemungkinan parti Umno akan berlaku sedikit ketegangan kerana ada sebahagiannya tidak bersetuju dengan keputusan (pelantikan) ini namun bagi saya Umno perlu bergerak ke depan kalau mereka ingin parti ini kekal relevan.

"Malah, mereka boleh menjadi 'dominan force' dalam kerajaan sekiranya terus menyokong kerajaan sedia ada ini," katanya.

Katanya, Umno perlu ingat menerusi Perhimpunan Agung Umno yang lalu, parti sudah membuat ketetapan untuk terus menyokong PN sehingga pilihan raya akan datang.

"Ini satu keputusan dasar yang dipersetujui oleh parti dan pastinya muktamad," katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, berkuat kuasa serta merta.

Ismail Sabri juga kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pelantikan itu akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:14 PM