Nor Azman Hassan (tengah) menyerahkan bahan makanan disumbangkan Greenviro Solution Sdn Bhd kepada petani di JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Nor Azman Hassan (tengah) menyerahkan bahan makanan disumbangkan Greenviro Solution Sdn Bhd kepada petani di JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Tidak hanya terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malah nasib 150 pesawah Kampung Pengkalan Lanjut di sini, diburukkan lagi dengan bencana banjir yang memusnahkan tanaman mereka.

Salah seorang pesawah, Rosli Drus, 50, berkata, bencana itu menyebabkan jadual penanaman padi kali ini terpaksa ditunda.

Menurutnya, penduduk turut berdepan masalah apabila padi dihasilkan gagal dipasarkan ke luar daerah susulan

PKP berkenaan.

"Akibatnya ramai pesawah menderita akibat hilang mata pencarian selain menanggung beban untuk membiayai perbelanjaan keluarga," katanya selepas menerima bantuan bekalan makanan disumbangkan syarikat pengendali pelupusan sisa pepejal Greenviro Solution Sdn Bhd tadi.

Sementara itu Che Kah Montel, 76, berkata sebahagian kecil daripada keseluruhan sawahnya seluas 2.8 hektar mengalami serangan makhluk perosak sekaligus menjejaskan pendapatannya.

Mereka adalah antara 150 petani dari beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang diberikan bantuan makanan bagi meringankan beban susulan PKP 3.0 dikenakan.

Bungkusan makanan berkenaan diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Pengurus Projek syarikat itu, Nik Mustaffa Mohd Noor kepada petani diketuai Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pengkalan Lanjut, Mustafa Ahmad, 61.

Nor Azman berkata, sumbangan itu diharap turut meringankan beban petani yang terjejas akibat banjir dua bulan lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:10 PM