Suspek ditahan dan batang besi digunakan ketika kejadian dirampas polis.
Suspek ditahan dan batang besi digunakan ketika kejadian dirampas polis.
Oleh Juwan Riduan


Beaufort: Hanya kerana bawang, seorang lelaki cedera dipukul jirannya menggunakan batang besi pada kejadian di Kampung Pansung, Rancangan Klias di sini, semalam.

Pada kejadian jam 12 tengah hari, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang tidur di bilik rumahnya sebelum didatangi suspek yang juga jirannya.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berusia 30-an kemudiannya memukul mangsa menggunakan batang besi menyebabkan tangan kirinya luka selain lebam.

"Mangsa dapat berdiri sebelum menghalang suspek daripada terus memukul dengan memeluknya.

"Selepas keadaan terkawal, mangsa bertanya kepada suspek punca dia dipukul. Suspek kemudiannya menuduh mangsa mencuri bawang di rumahnya," katanya dihubungi hari ini.

Yusoff Zaki berkata, selepas itu, suspek melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis.

Anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort kemudiannya menahan suspek.

"Suspek ditahan jam 11 malam tadi di Kampung Melabau Pangsong. Kami turut merampas batang besi yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:54 PM