GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 17 kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Johor, Kelantan, Sarawak, Sabah, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 17 kluster dikenal pasti, 11 adalah kluster dari tempat kerja, manakala lima lagi kluster membabitkan komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, sebanyak 2,049 kluster dilaporkan tamat serta 869 kluster masih aktif, setakat hari ini.

"Kluster tempat kerja itu membabitkan empat di negeri Johor iaitu kluster Jalan Wira Lapan dengan merekodkan 12 kes, Industri Parit Jamil (127), Industri Parit Hulu (40) dan Jalan Perindustrian Agas 11 (104) manakala dua kluster tempat kerja di Pahang pula adalah Kilometer 22 Jalan Gambang (11) serta Industri Bypass Gebeng (52).

"Selain itu, masing-masing satu di Selangor iaitu kluster Industri Jalan Bangi Lama (79); Kelantan iaitu kluster Pengkalan Batu (9), Pulau Pinang iaitu Kluster Lorong Sungai Tiram (25), di Sabah, kluster Bahtera Barat (18) dan Sarawak, kluster 35 Bintulu (21)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster dalam komuniti pula dua di Sarawak iaitu kluster Sungai Pelepak (26) dan kluster Sungai Entajum (41).

"Selain itu, masing-masing satu di Kelantan iaitu kluster Kampung Jeram Perdah (8); di Selangor, kluster Lorong Empat Sekinchan (41) dan di Terengganu, kluster Gong Pasir (29).

"Manakala kluster kumpulan berisiko tinggi pula di Johor, kluster Persiaran Kempas Jernih merekodkan 14 kes positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:22 PM