POLIS membuat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan sempena Op Patuh di Lipis. FOTO Ihsan PDRM
POLIS membuat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan sempena Op Patuh di Lipis. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Sikap cuai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membawa padah buat 19 pekerja apabila dikenakan kompaun dalam pemeriksaan Op Patuh di beberapa premis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 17 premis termasuk kilang dan tapak pembinaan serta 95 individu.

Menurutnya, pemeriksaan di dua tapak binaan mendapati lapan pekerja tiada penjarakan fizikal, manakala nama dua pekerja lain tiada dalam senarai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, berikutan itu kesemua mereka masing-masing dikenakan kompaun RM2,000.

"Dalam operasi di lokasi lain, polis turut mengeluarkan kompaun masing-masing bernilai RM2,000 kepada sembilan pekerja di beberapa premis kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Katanya, pihaknya berharap orang ramai dapat mematuhi SOP untuk membantu kerajaan memulihkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berpenghujung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 8:58 PM