GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kilang yang menutup operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dalam 'radar' Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan pemilik premis terus patuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam Ops Patuh Mega semalam, 213 kompaun dikeluarkan dan sembilan premis diarah tutup hasil pemeriksaan di 19,192 kilang serta 81 asrama penempatan pekerja seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai 157 ketua polis daerah dan membabitkan 26,504 anggota daripada 23 agensi penguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"Pada 24 Jun lalu, sebanyak 13,904 pemeriksaan dan 63 kompaun dikeluarkan," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pasukan penguat kuasa mendapati banyak premis memperoleh kebenaran Miti untuk beroperasi namun tidak berbuat demikian semasa pemeriksaan Op Patuh semalam.

"Premis berkenaan masih dipantau walaupun menghentikan operasi dan akan menjalankan siasatan lanjut secara berkala terhadap premis mencurigakan dari semasa ke semasa.

"KDN akan terus menjalankan operasi pematuhan serentak dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang penularan Covid-19, dalam kalangan pekerja sektor perindustrian" katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:34 PM