Hashim (kiri) berbual dengan ibunya, Munah. FOTO ROSLI ILHAM
Hashim (kiri) berbual dengan ibunya, Munah. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: "Tok (nenek) nak sangat cocok (suntik) vaksin ni cepat-cepat. Tok rindu nak jumpa cucu-cicit. Bila cocok ni kita rasa selamat jumpa siapa sahaja," kata warga emas, Munah Adam, 96.

Munah, penduduk paling tua yang tinggal di Kampung Pasir Raja berkata, dia tidak sabar untuk menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

"Kalau boleh Tok nak selesai dua dos cepat-cepat, tak sabar nak junpa anak cucu yang tinggal di Kelantan, Selangor, dan Kuala Lumpur.

"Lama dah Tok tak jumpa mereka dan tuk harap sangat penyakit Covid yang melanda negara ni cepat-cepat pergi," katanya.

Munah mendakwa dia sebenarnya sudah berusia 106 tahun kerana keluarganya hanya mendaftar kelahirannya ketika berusia 10 tahun.

"Tok alhamdulilah Allah bagi sihat lagi namun telinga kurang dengar dan lutut mulai sakit kalau berdiri terlalu lama.

"Tok tak ada petua, tapi banyak membaca al-Quran, minum air suam dan banyak makan ulam," katanya yang mempunyai empat anak, 16 cucu dan 22 cicit.

Anak Munah, Hashim Apil, 74, berkata dia menyokong usaha kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

"Mak tinggal dengan saya dan saya tak payah pujuk mak, dia sendiri nak ambil vaksin ini dan berharap menerima suntikan itu dengan cepat kerana dia tidak sabar nak jumpa anak dan cucunya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:29 PM