Ayob Khan.
Ayob Khan.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 77 kompaun berjumlah RM770,000 dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 120 premis dalam Op Patuh di seluruh Johor sepanjang dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu 48 kompaun dikenakan kepada pemilik premis dan 29 kepada pekerja atau pelanggan.

Katanya, empat premis diarah tutup serta merta kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) utama dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dalam tempoh dua hari ini, 120 premis diperiksa termasuk 100 kilang, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas.

"Lima kompaun dikenakan kerana melebihi kapasiti datang bekerja 60 peratus. Tiga kompaun terhadap salah guna surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Sebanyak 42 kompaun tidak patuhi SOP asas manakala 27 kompaun langgar syarat Akta Kerajaan Tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, operasi yang dilaksanakan sejak kelmarin dilakukan secara menyeluruh dengan diketuai Ketua Polis Daerah.

Katanya, dalam tempoh berkenaan sebanyak 22 operasi dilaksana dengan kekuatan 503 yang mana 322 adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Turut terbabit 181 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Polis Johor akan mempergiatkan operasi secara berterusan, perancangan dan signifikan bagi menyahut saranan kerajaan untuk mengurangkan ketidakpatuhan SOP yang membawa kepada peningkatan kes Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 12:58 PM