Mohd Khassim bersama anaknya, Nor Asmin selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Jitra. FOTO Bernama
Mohd Khassim bersama anaknya, Nor Asmin selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Jitra. FOTO Bernama
BERNAMA

Alor Setar: Anak-anak perlu menyediakan persekitaran positif dan memberikan sebanyak mungkin maklumat tepat tentang keberkesanan vaksin Covid-19 kepada ibu bapa untuk mempengaruhi serta menggalakkan mereka mendaftar sekali gus menerima suntikan vaksin.

Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf berkata, penceritaan kebaikan vaksin itu perlu disampaikan secara meluas kepada ibu bapa dalam usaha meyakinkan mereka untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

Beliau berkata anak-anak boleh menceritakan kelebihan mengambil vaksin Covid-19 dengan pertuturan yang baik dan lemah lembut tanpa paksaan.

"Cerita orang tua (lain) yang telah berjaya ambil vaksin dan sihat sewajarnya digembar-gemburkan untuk menjadi testimoni kepada ibu bapa yang enggan ambil vaksin bahawa kawan mereka yang lebih teruk keadaannya dari segi kesihatan sudah ambil dan gembira saja dengan pengambilan vaksin tersebut," katanya kepada Bernama.

Abdul Razak berkata, pengalaman manis yang diceritakan sebelum, semasa dan selepas pengambilan vaksin oleh warga tua lain juga boleh membantu mewujudkan keyakinan ibu bapa yang enggan divaksinasi untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka sebelum ini.

"Anak-anak juga boleh menggunakan pendekatan psikologi dengan memaklumkan akibat tidak mengambil vaksin kepada ibu bapa, antaranya seperti tidak boleh merentas daerah atau negeri sekali gus tidak boleh berjalan atau melawat cucu," katanya.

Beliau berkata selain itu, orang luar daripada lingkungan keluarga seperti doktor atau individu berpengaruh yang selalu ibu bapa temui atau hormati juga boleh membantu meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk segera mengambil vaksin.

Sementara itu, Noor Asmin Mohd Khassim, 43, dari Jitra yang berjaya memujuk ibunya Rahmah Ahmad, 79, mendaftar dan sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin itu pada Mei lalu berkata beliau sering berkongsi cerita kebaikan vaksin itu kepada ibunya melalui pembacaannya daripada sumber sahih.

"Pada mulanya mak saya macam payah (nak daftar) sebab dapat tahu info negatif yang tak sahih tentang kesan vaksin. Tetapi alhamdulillah, saya daftar untuk mak saya dulu, dan mak dah terima vaksin ini... keadaan mak sihat sahaja.

"Selepas mak saya selesai terima kedua-dua dos vaksin, baru saya daftar untuk ayah saya pula, dan ayah telah dapat dos kedua suntikan pada 22 Jun lepas. Ayah saya sejak dari awal lagi memang dah bersetuju untuk ambil vaksin," katanya.

Noor Asmin berkata, peranan anak-anak begitu penting untuk mempengaruhi keputusan ibu bapa dan keperluan itu telah mendorong beliau membuat pembacaan sendiri serta memahami fakta tepat berkaitan vaksin untuk menangkis segala maklumat tidak sahih tentang vaksin Covid-19.

Mohd Zulhelmi Mohd Sayutti, 33, dari Guar Chempedak dekat Yan pula berkata, ibunya Salmiah Shaari, 56, pada mulanya enggan mendapatkan vaksin itu akibat cerita negatif tentang vaksin namun akhirnya bersetuju mendaftar pada 25 Jun lepas dan telah menerima suntikan dos pertama vaksin itu semalam.

Beliau berkata, persekitaran ibunya yang positif juga mempengaruhi keputusan Salmiah untuk mendapatkan vaksin itu apabila mendengar perkongsian cerita baik daripada anak saudara dan kakak kepada ibunya yang telah pun menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Saya yang daftar untuk mak melalui aplikasi MySejahtera. Sebelum ini mak tidak mahu (daftar) sebab terpengaruh cerita negatif (kesan vaksin), tetapi bila persekitaran mak yang berikan maklum balas positif, mak sendiri jadi sukarela untuk suntik vaksin ini. Orang tua-tua ini payah sikit, ada sikap 'degil' yang mereka akan buat ikut cara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 11:44 AM