KEADAAN di sebuah pasar raya di daerah ini dengan orang ramai membeli barang dan mematuhi SOP susulan pelaksanaan PKPD pada esok hingga 16 Julai depan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN di sebuah pasar raya di daerah ini dengan orang ramai membeli barang dan mematuhi SOP susulan pelaksanaan PKPD pada esok hingga 16 Julai depan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Orang ramai dilihat berpusu-pusu ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di sebahagian besar daerah di Selangor bermula tengah malam ini.

Itu antara tindakan penduduk tiga mukim Ijok, Bestari Jaya dan Jeram di sini, yang membuat persediaan awal pagi semalam, bagi memastikan PKPD itu tidak menjejaskan kehidupan harian.

Tinjauan mendapati sebahagian besar wakil isi rumah keluar membeli barangan keperluan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di beberapa pasar raya di daerah ini bermula pagi tadi.

Pekerja kerajaan, Mohd Al-Hafiz Mohd Dalil, 36, berkata, dia membuat persediaan awal bagi mengelakkan kekurangan barang keperluan di rumah selain mahu mengurangkan pergerakan ketika PKPD susulan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

"Saya kerja di Pelabuhan Klang...kadang-kadang waktu pulang ke rumah tidak menentu. Adakalanya hanya pulang dua atau tiga hari.

"Apabila mengetahui tiga mukim di daerah Kuala Selangor dikenakan PKPD, saya tidak melengahkan masa dan pergi ke pasar raya untuk membeli barang dapur," katanya yang menetap di Pekan Jeram di sini.

Pekerja swasta, Haireezan Kamaruszaman, 32, berkata dia dan isteri, Nor Shahiza Mejan, 30, tiba seawal jam 10 pagi di pasar raya untuk membeli barang keperluan.

"Memang cadang nak datang awal membeli belah untuk elakkan kesesakan. Tak sangka pula ramai orang di sini," katanya yang menetap di Batu 8, Ijok.

Sementara itu, seorang kakitangan pengurusan pasar raya yang enggan dikenali berkata, pengumuman PKPD semalam, menyebabkan orang ramai menyerbu pasar raya.

"Tambahan pula, kami hadkan jumlah kemasukan dalam satu-satu masa dan memberi masa 30 minit untuk pelanggan membeli barang keperluan.

"Ia sekali gus menampakkan ramai kalangan mereka terpaksa beratur panjang untuk masuk dan keluar di kaunter pembayaran, " katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD dilaksana di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula esok sehingga 16 Julai depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 4:54 PM