ANTARA individu di pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah yang diserbu polis, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA individu di pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah yang diserbu polis, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jika dilihat dari luar seperti tidak beroperasi, namun sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah di sini, menggunakan pintu belakang untuk membenarkan pelanggan masuk bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, taktik pemilik premis itu dibongkar hasil risikan dan serbuan yang dilakukan pihaknya, hari ini.

Menurutnya, serbuan pada 5 petang itu berjaya menahan lapan individu berusia antara 35 hingga 46 tahun, termasuk pemilik premis.

"Mereka yang ditahan selain pemilik premis adalah dua pekerja warga asing iaitu wanita Vietnam dan lelaki Bangladesh.

"Turut ditahan adalah lima pelanggan terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki yang sedang minum minuman keras," katanya kepada pemberita.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati premis itu sudah beroperasi secara haram sejak beberapa hari lalu.

"Pemilik didapati memulakan operasi seawal 3 petang dengan berselindung menggunakan lesen restoran yang sah," katanya.

Katanya, pemilik premis dikenakan kompaun RM25,000 atas kesalahan menganjurkan aktiviti dilarang, manakala pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Kes disiasat mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 11:01 PM