HIROSHI Oka (tengah) bersama Datuk Seri Hishammuddin  (kiri) dan Khairy Jamaluddin menyaksikan ketibaan Vaksin AZ sumbangan Kerajaan Jepun di KLIA) hari ini. FOTO Bernama
HIROSHI Oka (tengah) bersama Datuk Seri Hishammuddin (kiri) dan Khairy Jamaluddin menyaksikan ketibaan Vaksin AZ sumbangan Kerajaan Jepun di KLIA) hari ini. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Jarak masa dos kedua kira-kira 1 juta penerima vaksin AstraZeneca di negara ini akan dipendekkan daripada 12 minggu ke sembilan minggu sahaja.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini penerima vaksin berkenaan pada Mei lalu akan mulai mendapat notifikasi untuk dos kedua dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) minggu lalu dan berikutan ketibaan 1 juta dos vaksin itu yang disumbangkan kerajaan Jepun hari ini

"Sebanyak 1 juta dos vaksin AstraZeneca meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 10.20 pagi tadi menggunakan penerbangan Japan Airlines 723 dan kini selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ia adalah bukti hubungan baik sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Ketibaan vaksin ini akan menyumbang kepada kadar pemberian vaksin yang lebih tinggi sepanjang Julai.

"Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa teknikal bawah JKJAV dan ketibaan sumbangan vaksin dari Jepun ini, kita akan mengurangkan sela masa antara dos dari 12 minggu ke sembilan minggu," katanya kepada pemberita selepas menerima bekalan vaksin berkenaan yang tiba di KLIA pada jam 5.45 petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi.

Khairy berkata, vaksin berkenaan akan dibawa ke pusat penyimpanan sebelum ia segera diedarkan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan dapat menyelesaikan pemberian vaksin kepada warga emas pada bulan ini.

Selain itu, beliau berkata, keputusan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk remaja berusia 12 tahun ke atas akan diumumkan sama ada esok ataupun awal minggu depan.

Khairy berkata, ia berikutan ada beberapa perkara teknikal yang perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Sementara itu, Oka berkata, ketibaan sejumlah 1 juta dos vaksin keluaran AstraZeneca yang dikilangkan di Jepun, hari ini, terus menjadi simbol hubungan sekian lama antara negara itu dengan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur dengan dedikasi kerajaan, pasukan barisan hadapan serta pasukan beruniform dalam memastikan keselamatan penduduk di negara ini terjamin.

Katanya, kerjasama Jepun - Malaysia dalam memerangi penularan Covid-19 bukan hanya pada pemberian vaksin semata-mata sebaliknya kerajaan negara itu turut menyumbang bantuan kemanusiaan dan peralatan perubatan serta berhasrat untuk terus bekerjasama.

"Perdana Menteri Suga turut menyampaikan mesejnya kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ini adalah lambang kerjasama erat antara Jepun dan Malaysia.

"Tahun depan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur. Bersama-sama dengan Malaysia sebagai rakan strategik, marilah kita atasi cabaran pandemik Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Jepun pada Jun lalu, menganjurkan Sidang Kemuncak COVAX untuk memastikan akses kepada vaksin yang selamat, berkesan serta berkualiti selain berjaya mengumpulkan lebih AS$8.6 bilion (RM35.7 bilion) yang diperlukan bagi menjalankan vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 30 peratus populasi di negara membangun menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:40 PM