Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 649 individu ditahan dalam 111 serbuan dilakukan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tempoh enam bulan tahun ini membabitkan rampasan bernilai RM43.89 juta.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 125 adalah warga tempatan terdiri daripada 122 lelaki dan tiga wanita manakala 521 adalah warga asing pula terdiri daripada 323 lelaki, 188 wanita serta 10 kanak-kanak.

Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan warganegara Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka.

"Pecahan nilai rampasan membabitkan kenderaan berjumlah RM4.6 juta, rokok seludup (RM10.4 juta), arak seludup dan ketum (RM20.6 juta), dadah (RM201,135.50), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM40,000).

"Bahan letupan (RM1.4 juta), padi dan beras (RM2.6 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta), wang tunai dan lain-lain (RM594,533.40)," katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah PGA Cheras, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan akta berkaitan yang lain.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, siasatan mendapati warga tempatan berperanan sebagai 'transporter' dan tekong darat.

"Mereka ini dipercayai menerima bayaran minimum RM400 bagi setiap trip dengan membawa pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Kita percaya sindiket sering mengubah modus operandi bagi membawa Pati terutamanya. Kita dapati warga asing diuruskan oleh dalang di negara jiran dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan, tempat selain pantau keadaan kawalan sekeliling," katanya.

Menurutnya, daerah Klang, Selangor antara kawasan panas pendaratan warga asing disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya rumah apungan dan panduan masuk seperti rumah api yang memudahkan pendaratan mereka.

"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengesan dan mencari mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah ini supaya dapat dibenteras bagi memastikan keselamatan negara terjamin,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:21 PM