MUSTAPA (kiri) bersama Khairy pada majlis pelancaran secara maya. FOTO Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
MUSTAPA (kiri) bersama Khairy pada majlis pelancaran secara maya. FOTO Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kerajaan melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), hari ini dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan yang inklusif, seimbang, bertanggungjawab dan mampan satu realiti menjelang 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Dasar 4IR Negara dirangka mengandungi empat teras utama untuk masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

"Pertama, melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR.

"Kedua, membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.

"Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi dan keempat, mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran secara maya yang turut disertai Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Mustapa dan Khairy turut menandatangani dokumen Dasar 4IR negara sempena majlis pelancaran secara maya itu.

Menurut Mustapa, keempat-empat teras dasar itu akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

Beliau berkata, empat teras itu juga akan akan dilaksanakan berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang sudah dikenal pasti.

"Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif.

"Dasar 4IR Negara ini bukan saja membabitkan penambahbaikan kepada inisiatif sedia ada malah turut memuatkan beberapa inisiatif baharu merangkumi empat bidang tumpuan, iaitu modal insan, infrastruktur, peraturan dan inovasi," katanya.

Menurut Mustapa, Dasar 4IR Negara adalah agenda negara yang akan memayungi pelbagai usaha kerajaan dalam mentransformasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan teknologi.

Katanya, visi, misi dan objektif Dasar 4IR Negara ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa rakyat, sektor swasta dan kerajaan yang bersama-sama memainkan peranan masing-masing dengan aktif.

"Kerjasama yang kukuh antara semua pihak berkepentingan ini merupakan komponen penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk memastikan Malaysia terus berada di hadapan dalam menguasai teknologi.

"Ia demi kesejahteraan negara dalam aspek ekonomi dan sosial seiring dengan negara maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 10:43 AM