Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih kekal berada di Fasa 1 kerana tiga indikator nilai ambang utama belum dicapai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masih ramai yang keliru dan menganggap sudah beralih ke Fasa 2.

"Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam Fasa 1. Peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh.

"Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes Covid-19 sekali gus membolehkan ketiga-tiga indikator tersebut dicapai dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas berhubung pemantauan di sektor perkilangan, beliau berkata, pasukan pematuhan melakukan 1,867 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,316 premis perniagaan, semalam.

"Daripada jumlah itu, hanya satu premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

"Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 7:35 PM