PROSES pengebumian jenazah Covid-19.
PROSES pengebumian jenazah Covid-19.
Yusmizal Dollah Aling dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak 87 peratus kematian iaitu 4,278 daripada 4,944 kematian direkodkan pada 27 Jun lalu membabitkan pesakit berusia lebih 50 tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 85 peratus lagi (3,602 kes) membabitkan pesakit tahap empat dan lima manakala 13 peratus bersamaan 623 kes meninggal dunia sebelum tiba di hospital.

Menurut Dr Adham, semua petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar kini masih sedang berusaha mengurus dan mengekang keadaan ini daripada berterusan.

"Untuk itu, kami mengajak dan memohon semua pihak supaya sama-sama mengukuhkan solidariti untuk menurunkan jangkitan Covid-19.

"Langkah itu bagi membolehkan kita semua dapat kembali kepada kehidupan normal seperti dahulu dalam semua aktiviti," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, KKM juga berusaha memperkukuhkan pendigitalan dalam pengurusan pandemik Covid-19 menerusi penggunaan peranti pintar dan "pulse oxymeter" di semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

"Penggunaan peranti itu bertujuan mempertingkatkan kecekapan dalam pemantauan pesakit Covid-19 yang menjalani Pemerhatian dan Pemantauan Di Rumah (HSO).

"Peranti pintar adalah alat memantau pesakit supaya tidak keluar dari rumah atau tempat pengasingan manakala 'pulse oximeter' yang dikenali di pasaran sebagai oximeter pula untuk mengukur kadar oksigen seseorang.

"Oximeter akan menunjukkan bacaan kadar oksigen sama ada normal (95 hingga 100 peratus) atau kadar oksigen rendah (bawah 95 peratus)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:33 PM